JAKIM sekali lagi menerima projek siap masjid yang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-8. Masjid yang disambung pembinaannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 ini bernama Masjid Al-Qurtubi yang terletak di Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur.
Majlis penyerahan masjid ini telah berlangsung pada hari Jumaat, 19 Mei 2005 bersamaan 21 Rabiulakhir 1427H. Penyerahan masjid yang bernilai RM 7.3 juta ini dilakukan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan, Ir. Ruslan bin Abd. Aziz dan diterima oleh Haji Sumali bin Amat, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada kedua-dua pihak iaitu Jabatan Kerja Raya dan JAKIM, diikuti dengan upacara menandatangani dokumen penyerahan/penerimaan, jamuan dan lawatan di sekitar masjid.
Dalam ucapannya, Ir. Ruslan memaklumkan rekabentuk masjid ini agak istimewa berbanding dengan masjid-masjid yang dibangunkan sebelumnya. Kemasan dalamannya dibuat begitu rupa berdasarkan motif dan nilai estatika yang menarik. Konsep yang diilhamkan oleh JKR dan disiapkan oleh firma perunding yang dilantik ini dapat melambangkan keindahan dan keagungan Islam masa kini. Pihak JKR berharap keunikan masjid ini dapat dijadikan sebagai penanda aras terhadap pembenaan masjid-masjid yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 kelak.
Dalam ucapan balasnya, Haji Sumali mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan kerja pembinaan masjid al Qurtubi, khususnya pihak JKR. Menurut beliau lagi, JAKIM akan membina beberapa masjid tambahan di Wilayah Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9. Sambil mengucapkan tahniah kepada para jemaah dan ahli kariah di kawasan Sri Segambut, Haji Sumali juga berharap agar masjid ini dapat dimanafatkan sepenuhnya supaya syiar Islam di kawasan setempat dapat ditingkatkan. Kepada Ahli Jawatankuasa yang dilantik, beliau berharap agar masjid ini ditadbirkan dengan cekap dan teratur untuk memberi kesejahteraan kepada semua pihak.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan